Tuesday, July 1, 2008

Tinjauan Pasaran: Pelabur terus tunggu petunjuk baru

PELABUR dijangka terus berada di luar pasaran di tengah kebimbangan suasana politik negara yang tidak menentu. Penganalisis menjangka penanda aras Bursa Malaysia, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) bergerak dalam jajaran sempit antara 1,166 hingga 1,180 mata hari ini. Katanya, kebimbangan terhadap kenaikan harga minyak mentah dunia, ditambah keadaan politik negara yang tidak menentu menjejaskan sentimen pelabur untuk terus memasuki pasaran.

“Saya fikir indeks mungkin mencecah paras rendah 1,166 esok (hari ini) dan mungkin meneruskan aliran menurun ke paras 1,157 mata menjelang akhir minggu ini berikutan sentimen pasaran negatif dan jumlah dagangan merosot,” katanya. Dalam urus niaga semalam, harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah dengan jualan berterusan, didahului kerugian di kaunter berkaitan kewangan dan perladangan, kata peniaga.

KLCI susut 11.74 mata atau 0.99 peratus untuk ditutup pada 1,174.83 mata. Ia dibuka 1.42 mata lebih tinggi pada 1,187.99.
Kebanyakan peserta pasaran bersikap tunggu dan lihat dan menantikan petunjuk baru. Aseambankers Equity Research dalam nota penyelidikannya berkata pelabur dijangka kekal tidak memasuki pasaran kerana bimbang dengan tahap inflasi pada separuh kedua 2008 akan menjejaskan penggunaan domestik dan pendapatan korporat. Indeks Perindustrian merosot 17.87 mata kepada 2,540.39, Indeks Kewangan turun 135.91 mata kepada 8,610.27 dan Indeks Perladangan berkurangan 70.39 mata kepada 7,854.54.

Daripada siri Indeks FTSE-BM, FBM2BRD lebih rendah 144.49 mata kepada 5,391.10, FBMEmas turun 84.46 mata kepada 7,815.9, FBM30 susut 81.37 mata kepada 7,575.36 dan FBMMDQ lebih rendah 97.88 mata kepada 4,306.89.

Saham rugi mengatasi saham untung dengan 471 berbalas 172, 240 kaunter tidak berubah, 516 tidak diniaga dan 31 digantung. Jumlah dagangan merosot kepada 340.095 juta saham bernilai RM759.792 juta daripada 370.536 juta bernilai RM965.351 juta kelmarin.

Sumber : Berita Harian Online

No comments: